• IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA) komited dalam memikul amanah sebagai organisasi yang memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat sama ada dari aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangunan remaja dan belia serta wanita.

  • Gambar aktiviti...

    DSC_0907a

    DSC_0923a

    DSC_0940a

    DSC_0943a

    More Photos
  • Pengunjung

    • 43,087 Pelawat...
  • >>

Ciri-Ciri Sifat ‘Rujulah’ Kepahlawanan Dalam Islam

Rujulah itu bukanlah apa yang dimaksudkan dengan jenis jantina, tetapi ia merupakan sifat yang boleh ada pada lelaki dan perempuan apabila terdapatnya syarat-syarat wujud sifat tersebut. Beza di antara seorang rajul dan seorang lelaki adalah setiap rajul merupakan seorang lelaki, tapi bukan semua lelaki adalah rajul – atau yang biasa disebut dalam istilah Melayu, rijal (jamak bagi rajul). Jantina lelaki atau jantan juga terdapat pada serangga dan juga binatang.

Kalimah ‘rajul – rijal’ yang dinyatakan dalam Al-Quran terdapat beberapa ciri-ciri istimewa:

1. Perkataan tersebut tidak berulang-ulang.
2. Setiap kali perkataan tersebut diletakkan, ia akan dikenakan dengan makna-makna yang baru (tidak sama dengan ayat ‘rijal’ yang lain.

Sifat-sifat Rijal

Sifat yang pertama: Tempat yang paling mereka sukai adalah masjid

Allah s.w.t berfirman: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (Surah An-Nur:36)

Ia seolah-olah menunjukkan bahawa rijal adalah mereka yang sangat menjaga solat mereka, di mana mereka telah dipanggil dengan sifat-sifat orang yang selalu berada di masjid. Ketahuilah bahawa sekiranya seseorang itu menjauhi masjid dan meninggalkan solat-solat jemaah di dalamnya, dia bukan sahaja kehilangan sifat-sifat rujulah sahaja, bahkan dia termasuk ke dalam pintu-pintu kemunafikan.

Ibnu Mas’ud r.a suatu ketika menerangkan perihal golongan salaf:
“Aku telah melihat semua sahabat-sahabat ketika solat jamaah, kecuali orang munafik yang sudah diketahui dengan sifat nifaqnya” – Riwayat Muslim.

Masjid-masjid yang menjadi tempat-tempat rijal, telah disebut dalam Al-Quran:

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah At-Taubah:108)

Secara jelasnya, ia merupakan masjid-masjid yang dibina atas dasar taqwa. Ia bukanlah masjid-masjid dhirar yang diperangi oleh Islam itu sendiri, yang menyebarkan nilai-nilai yang tidak islamik, yang telah dipergunakan mimbar-mimbarnya untuk menyampaikan pemikiran-pemikiran yang membawa kehancuran.

Masjid-masjid bagi rijal ini adalah masjid yang tiada padanya tujuan-tujuan di sebaliknya melainkan redha Allah Azza wa Jalla. Tiada sifat berpuak-puak, dan juga taksub perkumpulan serta harta benda duniawi.

“Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.” (Surah Al-Jin:18)

Rasulullah s.a.w telah berkata dalam hadith tujuh golongan yang diberi naungan arasy Allah pada hari Kiamat nanti, dan di antaranya adalah;

“.. dan lelaki yang hatinya terikat dengan masjid.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka dengan ini sudah semestinya, ia merupakan suatu sumber bekalan bagi seorang mukmin yang mahukan bekalan di atas jalan dakwah yang panjang ini. Suatu keperluan bagi mukmin yang mahukan Rabbnya ketika dia dipencilkan, dan mahukan nilai saki baki, ketika ia berkurangan.

Rasulullah s.a.w pun, ketika melakukan sesuatu pekerjaan, dan masuk waktu solat, baginda akan bergegas untuk menunaikannya, walaupun baginda mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Allah s.w.t. Sehingga pada saat-saat akhir hayat baginda s.a.w, pada ketika baginda sakit, baginda pergi ke masjid lalu berdiri tegak dan menunaikan solat. Seorang perawi telah berkata;

“Seolah-olah aku nampak kaki baginda s.a.w berjalan dengan keperitan.”

Seorang salaf telah berkata;

“Aku telah tertinggal solat jemaah, maka Abu Ishak sahaja yang telah mengucapkan takziah padaku. Tetapi sekiranya anakku mati, sudah pasti lebih sepuluh ribu manusia akan mengucapkan takziah padaku, kerana musibah pada agama lebih ringan di sisi manusia daripada musibah dunia.”

Sifat yang kedua: Keterikatan dengan akhirat

Allah s.w.t berfirman: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah An-Nur:36-37)

Keutamaan bagi rijal adalah negeri abadi iaitu akhirat serta persediaan untuk ke sana. Mereka mengislah dunia mereka dan hati mereka. Kerinduan mereka adalah pada akhirat. Lidah-lidah mereka sentiasa berzikir dan niat mereka sentiasa bersih ikhlas. Rijal adalah mereka yang beramal, bersungguh-sungguh, dan mereka adalah orang yang beruntung. Mereka tidak bergantung pada orang lain dan tidak dengki pada mereka, kerana mereka ketahui sebaik-baik harta adalah pada orang yang soleh. Tetapi hati-hati mereka langsung tidak terikat melainkan apa yang ada di sisi Allah (ganjaran pahala).

Perhatikanlah tasbih rijal itu, iaitu pada waktu pagi dan petang, ia tidak lain adalah azkar pada subuh dan maghrib. Menjaganya merupakan salah satu daripada sifat-sifat rijal.

Sifat yang ketiga: Membersihkan diri daripada kekotoran luaran dan dalaman

Ia suatu perkara yang wajib bagi rijal serta merupakan rutin mereka, di sana terdapat suatu poin penting dalam ayat tadi yang bermaksud ‘di dalam masjid tersebut’, di situ kita mengetahui taharah (bersuci) kerana ia merupakan syarat sahnya solat. Di dalam masjid itu juga rijal itu belajar mengenai kesucian hati. Ia terdapat dalam solat, perkumpulan-perkumpulan zikrullah, kelas-kelas pengajian yang terdapat pada semua itu berbagai peluang yang besar untuk mengubati penyakit-penyakit hati.

Dengan ini, rijal pasti akan memastikan hatinya sentiasa diikuti perkembangannya, dan tidak akan membiarkan dirinya dengan kekotoran pada badan serta najis-najis pada baju-baju mereka.

Rijal itu adalah empunya hati-hati yang suci, badan mereka suci, dan baju-baju mereka juga suci. Inilah sifat mereka, dan inilah kehebatan mereka.

Walaupun begitu, rijal kadangkala tersilap dan berdosa. Mereka juga adalah manusia yang kadang-kadang tersilap. Tetapi bezanya adalah mereka ini sentiasa beristighfar dan meminta ampun, mereka kembali ke jalan yang benar, dan bertaubat. Bahkan mereka cinta untuk membersihkan diri mereka daripada dosa ketika mana mereka berbuat dosa. Mereka juga, alangkah indahnya, dicintai oleh Penjaga mereka s.w.t:

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana Sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah At-Taubah:108)

Sifat yang keempat: Benar

Allah s.w.t berfirman: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Surah Al-Ahzab:23)

Kebenaran bagi rijal adalah kebenaran pada janjinya dengan Allah s.w.t. Ayat ini diturunkan – sepertimana diceritakan dalam hadits sahih – pada Anas An-Nadhr yang tidak sempat mengikuti perang Badr Kubra. Beliau berkata;

“Sekiranya Allah menyaksikan (menjadi saksi) bahawa aku ini pergi berperang bersama Rasulullah s.a.w, sudah pasti Dia akan memperlihatkan apa yang aku lakukan nanti.”

Ini adalah suatu janji yang benar bersama Allah s.w.t. Beliau telah terbunuh ketika perang Uhud, dan badannya terdapat lapan puluh satu bekas panahan dan luka dengan pedang serta tombak. Tiada siapapun yang mengenali beliau ketika itu kecuali saudara perempuannya, hanya dengan ibu jarinya yang dikenalpasti.

Dalam contoh yang lain, seorang Arab Badwi telah diberi oleh Nabi s.a.w. bahagiannya daripada harta rampasan perang yang telah disertai bersama baginda s.a.w. Lalu beliau berkata kepada baginda s.a.w;

“Bukan ini yang aku mahukan dalam bai’ahku padamu, sesungguhnya aku mahukan supaya aku dipanah di sini (lalu dia menunjuk dengan tangannya ke lehernya), dan aku mati syahid serta dimasukkan ke dalam syurga.”

Maka Rasulullah s.a.w berkata; “Sekiranya engkau ini benar, Allah akan membenarkanmu.”

Maka peristiwa itu memang terjadi, alangkah beruntungnya lelaki tersebut.

Sebelum itu lagi, Ismail a.s merupakan seorang yang menepati/membenarkan janjinya serta beliau adalah Rasul dan Nabi. Tidakkah dia pernah berkata kepada ayahnya ketika diperintahkan untuk menyembelihnya;

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah Shoffat:102)

Memang Ismail a.s telah benar dalam janjinya, maka dihunus pisau tersebut dan dilalukan pada lehernya. Beliau langsung tidak takut dan tidak berpatah balik daripada janjinya, itulah dia kebenaran rijal.

Sifat yang kelima: Pemikiran positif (membina)

Ia terdapat dalam sebuah kisah seorang lelaki yang telah menyembunyikan imannya. Tikamana dia merasakan kebahayaan akan menimpa Musa a.s, dia berkata dengan kebenaran yang telah dia ketahui dan sembunyikan dalam masa yang lama (sebelum ini). Ia adalah waktu untuk menyatakan kebenaran dengan berani seperti yang disebut dalam Al-Quran;

“Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ Sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka Dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.” (Surah Yasin:28)

Tidakkah sebaik-baik syuhada’ adalah Hamzah dan lelaki yang berdiri di depan pemerintah yang zalim lalu menyatakan kebenaran dan dibunuh kerana itu ? Benarlah Rasulullah s.a.w. Ia juga terdapat dalam kisah mukmin dalam surah Yasin, yang telah berkata ‘wahai kaumku ikutlah para utusan Allah’ , hanya kerana takut azab menimpa mereka dan cinta kepada mereka, lalu beliau dibunuh oleh kaumnya. Lihatlah apa yang diperkatakan selepas itu ketika menyaksikan nikmat syurga;

“(setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – “tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang Yang dimuliakan”.” (Surah Al-Qasas:20)

Ikutilah pula kisah lelaki yang telah datang daripada hujung kota dengan bergegas dan tergesa-gesa. Perkara itu menunjukkan keseriusan dan kesungguhan, hanya untuk memberi amaran untuk Musa a.s lari keluar kota;

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu.”

Maka di antara sifat-sifat rijal adalah pemikiran positif dan membina, serta merasakan tanggungjawap pada pundaknya. Rijal adalah pemikul agenda-agenda umatnya dan dakwahnya, walau terkorban hidupnya dan menggunakan segala yang mahal dan murah hanya kerana ingin memenangkan Islam. Rijal itu adalah mereka yang menghidupkan agenda-agenda umatnya, membina kaumnya, serta lebih mencintai mereka dari dirinya sendiri.

Cuba kita lihat pada ketika ini, umat pada waktu yang amat kritikal ini amat perlu kepada rijal atau lelaki-lelaki biasa untuk membangkitkan umat ini daripada kejatuhannya?

Akhir sekali, tulisan ini merupakan hanya sedikit kalimah-kalimah perkongsian. DIharapkan selepas ini engkau boleh memuhasabah dirimu, adakah padamu ukuran rijal itu? Sekiranya engkau sebegitu maka tahniah padamu. Tetapi jika sebaliknya, maka bersegeralah dalam memenuhi ciri-cirinya, kerana sesungguhnya umatmu sangat memerlukan dirimu. Siapa lagi kalau bukan engkau?

Sumber: Laman ISMA Mesir

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: